Monday, 16 April 2012

Cemin..2(Kisah Cinta Seram)

HARI ini genap seminggu Dewi berada di sekolah barunya. Dia sudah tahu selok-belok sekolah barunya itu. Di mana makmal sains, di mana makmal kemahiran hidup, ada berapa tandas di sekolah ini dan nama-nama guru yang mengajar kelasnya. Semuanya dia sudah tahu. Selain itu kehadirannya di dalam kelas 3 Mutiara itu juga disenangi oleh semua pelajar, cuma ada beberapa pelajar sahaja yang kurang senang dengan kemunculannya.

“Hei, perempuan! Kau ni macam bagus aje ek masuk kelas ni. Budak-budak kelas lain kata kau berlagak. Betul ke?” Salina, salah seorang rakan sekelasnya tiba-tiba datang tanpa memberi salam, terus menyembur yang bukan-bukan.

Dewi yang sedang sibuk membuat laporan amali Sains buat-buat tidak dengar. Malas benar dia mahu melayan perangai Salina yang semenjak beberapa hari ini seolah tidak puas hati terhadapnya. Dewi bukan tidak mahu melawan. Dia malas. Dulu masa di sekolah lamanya, di bukannya tidak pernah dipanggil oleh pengetua sekolah kerana membelasah budak perempuan di dalam tandas. Semua itu dia sudah merasa, cuma dia bertekad selepas masuk sekolah baru ini dia ingin berubah. Berubah daripada perangai negatif sebelum ini.

“Kau tengok minah ni, aku cakap dengan dia, dia buat bodoh aje,” kata Salina kepada dua lagi kawan baiknya yang sama-sama menyimpan niat untuk membuli Dewi.

Salina merampas pen yang dipegang oleh Dewi. Dewi buat tidak tahu lalu mengambil pen lain dari bekas penselnya. Dia kembali menulis. Salina merampas lagi pen yang ada di tangannya. Dewi buat tidak tahu juga. Dilihat Siti di sebelahnya sedikit pun tidak mahu menolong. Cuak sungguh wajah Siti ketika ini. Mungkin dia takut dibuli sama agaknya, Dewi beranggapan.

Dewi menutup buku dan selamba duduk sambil merewangkan pandangan, mengulum bibir. Seolah-olah Salina dan rakan-rakannya di situ tidak wujud. Salina terus membuli Dewi dengan melontarkan kata-kata yang bukan-bukan. Dewi mula bosan dan tertekan, lalu bangun daripada duduknya. Salina terkejut. Takut Dewi tiba-tiba menyerangnya. Bersiap sedia dia memasang kekuda untuk mempertahankan diri. Dewi memandang Salina dengan senyuman sinis. Jelek rasa hatinya melihat minah kampung yang ingin berlagak seperti minah gengster sekolah itu.

Selepas berdengus halus, Dewi menjeling sinis kepada Salina dan rakannya lalu melangkah meninggalkan kelas itu untuk ke tandas. Semasa Dewi melintas hadapan Salina, Salina memacak tumit kakinya, menghalang langkah Dewi. Dewi tidak perasan lalu tersadung. Mukanya terkena bucu meja.

“Dewi!” jerit Siti selepas mendapati kawannya itu telah pun tersungkur di atas lantai sambil memegang dahi.

“Kau tak apa-apa ke, Dewi? Ya Allah, dahi kau berdarah,” jerit Siti lagi sambil memapah Dewi bangun lalu dibawa ke tempat duduknya.

Salina dan kawan-kawannya mentertawakan Dewi segalaknya.

“Hei, apa semua ni? Ya Allah… darah! Siapa yang buat kau macam ni, Dewi?” Bertubi-tubi Sem bertanya selepas pulangnya dari tandas. Cemas benar wajahnya.

Dewi masih lagi memegang dahinya yang berdarah. Siti pula hanya memandang benci kepada Salina dan rakan-rakannya yang terus galak mentertawakan Dewi yang dalam kesakitan. Segera Sem kembali ke mejanya untuk mengambil beberapa helai tisu. Kemudian dihulurkan kepada Dewi untuk mengelap darah yang mengalir di dahinya.

“Weh, Salina, kau buat apa pada Dewi ha?” tanya Sem tegas tapi lembut.

“Mana ada aku buat apa-apa? Dia yang jalan tak betul. Lepas tu jatuh. Jangan nak salahkan aku ek,” jawab Salina sambil membentuk-bentuk bibir, sengaja tidak mahu mengaku bersalah.

“Alah, girls, I bukan tak tahu you all ni. Minah buli. You all tak mengaku pun I tahu you all yang buat.” Jelak Sem dengan Salina dan rakan-rakannya. Bukan dia tidak tahu, sudah banyak kali dia terlihat Salina dan rakan-rakannya membuli budak junior di tandas. Mengugut agar diberi duit.

“Dah tahu tu, buat apa tanya lagi?”

“Benci kat you all!” bentak Sem lalu mendapatkan Dewi semula.

“Benci kat you all!” Salina mengajuk kata-kata Sem. Seraya itu mereka bertiga terburai mentertawakan gelagat Sem yang sedikit gedik.

“Tengok, gang, mat sotong bantu minah lembik,” kata Salina lagi lalu mereka bertiga menyambung gelak semula.

Dewi hanya menjeling sinis kepada Salina. Benci benar dia kepada Salina ketika ini. Ikutkan hati, ingin sahaja dia menghenyak muka Salina semahunya. Siti terus menenangkan Dewi agar bersabar. Sem pula tidak habis-habis risau dengan darah yang sudah berhenti mengalir di dahinya.

“SABAR ajelah, Dewi. Salina tu memang macam tu. Kaki buli,” jelas Siti sekadar ingin menenangkan Dewi.

Dewi tidak terus menjawab. Dahinya yang berplaster dipegang-pegang. Lukanya masih berdenyut. Perasaan marahnya dan bencinya kepada Salina masih membuak-buak. Ikutkan hati ingin sahaja dia melawan Salina tadi.

“Hey, you all… Tak pergi makan ke?” Tiba-tiba Sem muncul dari belakang.

“Kau ni, Sem, dah tak reti nak beri salam ke?” herdik Siti dalam nada berbisik. Dia tidak mahu suaranya mengganggu pelajar-pelajar lain yang ada di perpustakaan itu.

“Assalamualaikum.” Sem memberi salam. Dijawab oleh Siti dan Dewi dalam hati.

“You know, right… I’m on diet. Kenapa tanya lagi?” sambung Siti sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Okey, I lupa. Sorry. By the way, macam mana dengan luka di kepala kau tu, Dewi?” tanya Sem tiba-tiba menukar topik perbualan.

Dewi tidak terus menjawab. Dia mula perasan, ada seorang budak lelaki yang duduk di hadapan mejanya sedang memerhatikannya. Budak lelaki itu sedari tadi tersenyum-senyum kepadanya. Dia sendiri tidak tahu kenapa.

“Nyah, mak tanya kau, dah macam mak tanya patung Oscar aje.” Selepas melihat Dewi khusyuk melihat seseorang di belakangnya, Sem melarikan pandangan mengikut arah anak mata Dewi.

“Nyah, jantan tu namanya Andy. Dia tu boyfriend Salina,” jelas Sem seolah tahu apa yang tersirat di sebalik hati Dewi ketika ini.

“Handsome, kan? Budak ragbi yang menjadi kegilaan budak perempuan sekolah ni.” Siti pula mencelah.

“Really?” tanya Dewi sinis. Satu rancangan terangka dalam fikirannya ketika ini.

“Amboi, nyah, kau tengok aku sinis benar. Mesti kau simpan niat nak rampas Andy tu daripada Salina, kan? Nak balas dendam ke, nyah?” Sem meneka-neka.

“Wait and see,” jelas Dewi lalu bangun daripada duduknya dan melangkah menuju ke meja Andy.

“Kau nak buat apa, Dewi? Kau jangan nak buat kerja gila.” Siti cemas.

“Kau ingat aku nak buat apa? Aku tak akan buat apa-apa. Aku hanya akan buat budak lelaki tu suka pada aku secara sendirinya,” jelas Dewi yakin sambil mengarahkan pandangan ke arah Andy.

“Kau tak ada perasaan marah pada Salina ke? Dah buat dahi kau sampai berdarah-darah ni?” Sem mengubah topik perbualan. Malas benar dia ingin berbual mengenai budak lelaki yang bernama Andy itu. Lelaki perasan yang berlagak peria terhebat di sekolah ini.

“Mananya aku tak marah. Ikutkan hati, aku nak heret muka dia kat tengah jalan raya tu, biar hancur muka dia,” jawab Dewi. Sinis benar nada suaranya.

“Amboi, nyah. Kejam juga kau ni ek?” tempelak Sem.

Siti hanya tergelak.

“Aku gurau ajelah. Lantaklah si Salina tu. Aku sikit pun tak takut pada dia,” jelas Dewi selamba.

Mereka bertiga meneruskan perbualan. Sepuluh minit kemudian loceng berbunyi, menandakan sudah tamat waktu rehat.

SAMPAI di rumah, Dewi terus menghempaskan tubuh di atas katil. Luka pada dahinya dipegang. Masih berdenyut-denyut. Dia bangun lalu melangkah ke cermin solek, melihat bekas luka itu.

“Bodoh punya Salina. Kau buli aku ya? Tengoklah, hari ni hari kau. Tak lama lagi kau pulak kena buli. Masa tu aku ketawakan kau aje.” Dewi bercakap sendirian. Melepaskan kemarahannya terhadap Salina di depan cermin kesayangannya.

Dewi menatap lagi wajahnya, dalam-dalam. Tiba-tiba, bayangannya seolah-olah tersenyum kepadanya. Sepantas kilat dia terganjak ke belakang. Selepas matanya berkelip, bayangannya pada cermin itu kembali seperti biasa. Jantungnya berdegup laju. Apa yang dilihatnya tadi seolah benar-benar berlaku. Dia melarikan pandangan ke arah barang-barang peribadinya yang ada di atas meja soleknya lalu kembali menatap bayangnya melalui cermin. Tiada apa-apa yang berlaku.

“Mungkin ilusi aku saja,” bisik Dewi sendirian, sekadar ingin menyedapkan hati. Dia mengeluh halus lalu mencapai tuala dan melangkah masuk ke dalam bilik air.

Namun, bayangannya di dalam cermin itu masih tertinggal. Bayangannya itu sedang tertawa sinis ke arah Dewi yang sedang melangkah masuk ke dalam bilik air di dalam bilik itu. Dewi langsung tidak menyedarinya dan beberapa saat kemudian bayang itu hilang.

Selesai mandi, Dewi melangkah keluar dari bilik air sambil mengeringkan rambutnya dengan menggunakan tuala. Dia menuju ke meja solek. Ditatap wajahnya di dalam cermin itu. Tiba-tiba dia terasa dingin, seolah ada angin bertiup perlahan dari arah belakang. Cepat-cepat dia menoleh. Bayangnya pada cermin tidak menoleh, sebaliknya tersenyum sinis ke arahnya.

Dewi kembali memandang wajahnya pada cermin, kehairanan. Angin apa yang bertiup tadi? Tiba-tiba dia terlihat langsir tingkap biliknya berkibar-kibar perlahan. Segera dia melangkah menuju ke arah tingkap bilik. Dikuak langsir. Tingkapnya terbuka. Angin dari luar berhembus perlahan ke muka. Terasa amat dingin sekali.

Dia kehairanan. Siapa pula yang membuka tingkap biliknya? Dia menoleh ke arah tombol pintu bilik. Berkunci. Takkanlah Mak We masuk sebentar tadi? Dewi bertanya sendirian. Mustahil. Sejak dia berpindah ke banglo ini, Mak We hanya sekali sahaja menjejak kaki ke bilik ini, pada hari pertama dia masuk ke bilik ini. Selepas itu Mak We tidak pernah masuk ke bilik ini lagi. Jika ingin memanggilnya di dalam bilik, Mak We hanya sekadar memanggilnya dari luar pintu bilik saja.

Dewi kembali ke arah tingkap biliknya tadi. Cuba mengabaikan perasaannya. Dia menutup daun tingkap bilik semula. Biliknya betul-betul menghadap ke arah bandar dan di sebelahnya pula pemandangan sebuah bukit. Indah pemandangannya.

Dewi kembali ke katil lalu menghempaskan tubuh ke atas katil. Merehat-rehatkan diri. Dia mencapai alat kawalan jauh mini hi-finya lalu ditekan butang play. Lagu Situ Sana Sini serta-merta memenuhi ruang bilik itu. Dia melayan perasaan, mengenangkan Andy. Terdetik satu perasaan di hati. Dia tersenyum sendirian.

JAM di tangan menunjukkan pukul 11.00 malam. Tetapi Andy dan Salina masih duduk melepak dengan kawan-kawan mereka di sebuah pusat membeli-belah yang kebanyakan kedainya sudah pun tutup.

“Andy, jom balik, dah lewat ni,” rayu Salina mula bimbang. Jika dia balik selepas pukul 12.00 malam, dia bakal dimarahi oleh ayahnya.

“Relakslah, sayang. Awal lagi. Kita balik kejap lagi ek?” pujuk Andy sambil menyedut baki rokoknya dalam-dalam lalu dihembuskan asapnya keluar dari mulut dan hidung. Berkepul-kepul asap berlegar-legar di ruang udara.

“Dah pukul 11.00 ni. I takut ayah I balik kerja awallah malam ni. Kalau kantoi, masak I kena belasah dengan ayah I,” rayu Salina.

“Kejap lagilah, sayang. Setengah jam lagi ek?” pujuk Andy sambil memeluk pinggang Salina.

Salina terpujuk dengan perlakuan Andy itu. Dia memang sayang sangat kepada Andy. Dia juga rasa bangga sebab dapat memiliki Andy yang digelar peria terhebat di sekolahnya. Ramai budak perempuan suka kepada Andy, termasuk junior-juniornya sendiri. Akhirnya, dia juga yang berjaya memiliki Andy. Kerana sayang, dia ikutkan sahaja kehendak Andy itu.

“Andy, I nak ke toilet kejap.” Salina meminta diri.

“I ikut boleh?” usik Andy sambil mencuit hidung Salina.

“Gatal,” dengus Salina manja sambil mencubit perlahan perut Andy lalu berlalu, meninggalkan Andy berborak bersama rakan-rakan mereka.

“Kau pernah nampak tak budak baru yang sekelas dengan Salina tu? Cun siot!” celah seorang lagi kawan Andy.

“Kenapa dengan dia?” tanya Andy. Tahu benar dia siapa budak perempuan yang dimaksudkan oleh kawannya itu. Sudah semestinya Dewi.

“Budak tu kalau jadi awek aku, gerenti aku setia dengan dia sampai mati,” jawab kawannya tadi.

“Ah, sudahlah kau, Helmi. Awek keliling pinggang ada hati nak setia,” tempelak Andy.

Mereka yang ada di situ terbahak-bahak mentertawakan Helmi.

Selesai membuang air, Salina melangkah ke singki. Dicuci tangannya. Sambil itu dia membelek-belek wajahnya di cermin. Tiba-tiba ada bayangan hitam melintas di belakangnya. Salina terkejut. Hatinya berdebar-debar. Cemas. Dia memberanikan diri untuk menoleh ke belakang.

Kosong, tiada apa-apa di belakangnya. Hanya kedengaran bunyi air mengisi tangki pengepam tandas sahaja. Salina kembali menghadap cermin. Dipusing kepala pili, berhenti air itu daripada mengalir. Dilibas-libas tangannya perlahan-lahan, untuk mengeringkannya. Dia kembali menatap wajahnya pada cermin.

“Argh!!!” Salina menjerit lalu menutup mata dengan tangan. Wajah seorang perempuan yang sedang tersengih tiba-tiba muncul di hadapan cermin. Dia ketakutan. Mata masih ditutup. Agak lama kemudian, dia beranikan diri untuk membuka kelopak matanya semula. Bayangan wanita tadi hilang. Lekas-lekas dia melangkah keluar meninggalkan tandas itu.

“Andy, jomlah balik. I takut,” rayu Salina sekembalinya dari tandas. Cemas benar wajahnya.

Andy kehairanan melihat keadaan Salina itu.

“Jomlah balik, Andy. Cepat!” Beria Salina merayu. Tangannya kuat memegang lengan Andy.

“Kenapa ni, Salina? Kalau ya pun, sabarlah sekejap. I nak pakai jaket I dulu. You ni macam takut semacam aje, kenapa? You baru nampak hantu tandas ke kat toilet tadi?” Andy sekadar mengusik.

Kawan-kawan Andy yang lain hanya tersengih melihat keadaan Salina yang pucat lesi itu.

Andy menghidupkan enjin motosikalnya. Selepas memakaikan Salina topi keledar, Salina diarah naik ke atas motosikal. Terasa tangan Salina terketar-ketar memegang pinggangnya.

“You ni kenapa, Salina?” tanya Andy agak risau melihatkan keadaan Salina itu. Tangan Salina sejuk tiba-tiba.

“Hantar I balik cepat, I nak balik. Please… please…” rayu Salina ketakutan. Apa yang dia lihat di tandas tadi seolah sedang mengekorinya dari belakang.

Andy mula menunggang motosikal. Salina memeluk pinggang Andy sekuat yang boleh. Dia dapat rasakan wanita yang dilihat di cermin tandas tadi seolah sedang berterbangan mengekorinya dari belakang. Dia menutup mata. Tidak mahu melihat apa yang bakal dilihat. Apa yang ada di mindanya ketika ini, dia ingin cepat sampai ke rumah.

Andy memecut motosikal selaju yang dia suka.

Salina sudah tidak menghiraukan keadaan itu. Selalunya jika Andy menunggang laju, pasti dia akan membebel di belakang. Menyuruh Andy memperlahankan motosikal. Tetapi hari ini, dia sendiri tidak tahu mengapa, dia merasakan perjalanannya ke rumahnya terlalu jauh. Jarak dari pusat membeli-belah tadi ke rumahnya hanya memakan masa sepuluh minit sahaja. Tapi dia rasakan seolah sepuluh jam.

Kedinginan malam seolah tidak dapat menyejukkan tubuh Salina. Perasaan cemas membuatkan tubuh badannya terasa panas. Peluh sudah membasahi tubuh. Bulu roma tengkuk meremang. Dia merasakan seolah wanita yang dilihat di cermin tandas tadi sudah menghampirinya. Terlalu hampir sangat.

Andy terus memecut laju. Keadaan jalan raya sudah mula lengang. Sedang asyik dengan pemanduannya, tiba-tiba muncul kelibat seorang wanita, berdiri betul-betul di tengah jalan. Andy mengelak. Motosikalnya tidak dapat dikawal lagi. Meluncur laju tanpa hala tujuan. Andy menekan brek. Serta-merta motosikal terseret ke depan. Salina di belakangnya masih memeluknya.

Sesaat kemudian dia terhumban ke bahu jalan. Salina sudah pun tertiarap di tengah jalan. Topi keledarnya entah ke mana. Pandangannya kabur… gelap!

No comments:

Post a Comment