Monday, 16 April 2012

Cemin..3(Kisah Cinta Seram)


SATU sekolah heboh. Salina ditimpa kemalangan teruk malam tadi. Akibat kecederaan teruk di muka, dia terpaksa dimasukkan ke ICU dan masih tidak sedarkan diri. Kecederaan di mukanya dikhabarkan serius akibat terseret pada permukaan jalan. Walau bagaimanapun, Andy sebagai pembonceng motosikal tidak pula mengalami kecederaan yang serius. Sekadar cedera ringan sahaja.

Dewi masih terkejut dengan perkhabaran yang didengar daripada rakan sekelasnya pagi tadi. Pelbagai cerita mengenai kemalangan yang menimpa Salina malam tadi terus diperbahaskan. Ada khabar yang mengatakan ia balasan akibat Salina sering membuli pelajar junior. Ada yang kata balasan sebab buat maksiat dengan Andy dan macam-macam lagi spekulasi yang bukan-bukan.

Wajah Dewi pucat. Dia tidak menyangka, apa yang dikatakan kepada Siti dan Sem semalam di perpustakaan seolah benar-benar terjadi. Di kegelisahan. Tidak tahu bagaimana ingin menggambarkan perasaannya ketika ini. Tidak semena-mena dia berasa bersalah pula kepada Salina.

“Nyah, kau dengar tak berita tergempar tu?” Tiba-tiba Sem menyapa.

Dewi terkejut. Wajahnya pucat.

“Kau kenapa, Dewi? Pucat semacam aje?” tanya Sem hairan.

Siti yang duduk di sebelah Dewi menoleh ke arah Dewi. Bimbang melihat wajah Dewi pucat lesi tidak semena-mena.

“Aku… aku tak ada apa-apa. Aku okey,” jawab Dewi tersekat-sekat.

“Tak sangka, kan? Apa yang kau cakapkan semalam seolah jadi kenyataan.” Sem tersenyum sambil melirik Siti.

“Ha’ah, Dewi. Semalam kau kata kau rasa macam nak aje heret muka dia kat tar jalan, kan? Malam tadi jugak Tuhan bayar dia, atas kejahatan dia membuli kau semalam. Dekat dunia dah dapat balasan dulu,” kata Siti beria. Benci benar kepada Salina.

Dewi tidak menjawab apa-apa. Mukanya masih pucat. Perasaannya masih di awang-awangan. Berita kemalangan Salina tadi masih terngiang-ngiang.

“Kau ni kenapa, Dewi? Gelisah semacam aje?’ Sem risau. Dewi tidak menjawab. Dia terus berlari menuju ke tandas. Sem dan Siti terpinga-pinga melihat keadaan kawan baik mereka itu. Sedari tadi kelihatan gelisah. Wajahnya pula pucat lesi.

Di dalam tandas, Dewi terus menatap wajahnya di cermin. Apa yang menimpa Salina buat dia kesal.

“Kenapa ni, Dewi?” tanya Siti yang tiba-tiba muncul.

Dewi terus memeluk kawan baiknya itu. Dia menyesal kerana melepaskan kata-kata yang tidak sepatutnya semalam. Dia rasa betul-betul bersalah.

“Menyesal aku kata yang bukan-bukan pasal Salina semalam. Hari ni, apa yang aku kata berlaku betul-betul,” luah Dewi sedih dan mula menangis.

“Jangan mengarutlah, Dewi. Apa yang terjadi ni secara kebetulan aje,” pujuk Siti sambil mengusap belakang Dewi.

Dewi diam. Memikirkan kembali kata-kata kawan baiknya itu. Mungkin apa yang berlaku kepada Salina adalah secara kebetulan sahaja. Bukan kerana kata-katanya. Dia cuba mengabaikan perasaannya itu.

ANDY dan Helmi duduk melepak di koridor kelas mereka sambil berborak kosong. Kelasnya betul-betul berhadapan dengan tandas pelajar perempuan. Memang sudah menjadi kebiasaannya, mereka berdua melepak di koridor tingkat dua bangunan Blok B itu sementara menunggu cikgu yang mengajar subjek seterusnya masuk.

“Macam mana dengan keadaan Salina?” tanya Helmi.

Andy tidak terus menjawab. Dia yang hanya mengalami cedera ringan di dahi, hanya mengeluh halus. Dia tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaannya ketika ini. Apa yang dilihatnya malam tadi sangat aneh. Termasuk Helmi, sudah hampir 30 orang menanyakan soalan yang sama sejak pagi tadi.

“Entahlah. Lepas aku call ambulans malam tadi, aku tak jenguk pun lagi dia di hospital. Sempat jugaklah aku tengok muka dia di tempat kejadian malam tadi. Berlumur darah. Sampai aku tak nampak wajah dia yang sebenar,” jawab Andy dengar tidak dengar. Apabila teringat kembali peristiwa malam tadi, tiba-tiba hatinya dan nalurinya seolah dicengkam ketakutan dan seram.

“Macam manalah kau boleh accident? Kau kan peria terhebat dalam sukan dan menunggang motosikal? Macam mana mat rempit macam kau ni boleh jatuh motosikal ek?” tanya Helmi bertujuan mengusik kawannya itu sambil meletak tangan di bahu Andy.

Andy menepis tangan Helmi. Tidak selesa. Dia sendiri sangsi untuk menceritakan hal yang sebenarnya dan apa yang telah dialami malam tadi. Takut ceritanya bakal tidak dipercayai oleh Helmi. Takut dia digelakkan oleh Helmi. Hatinya runsing bukan kepalang. Tidak tahu kepada siapa harus dia ceritakan apa yang telah dialami malam tadi.

“Aku cuba mengelak sesuatu,” jawab Andy acuh tidak acuh. Dia berharap agar Helmi tidak bertanya lanjut.

Helmi berkerut dahi. Pelik dengan jawapan Andy. Dia merenung wajah Andy dalam-dalam. Cuba memahami apa yang dimaksudkan oleh Andy melalui raut wajahnya.

“Mengelak sesuatu? Apa yang kau cuba elak?” Terluah juga apa yang terbuku di hati Helmi.

Andy mengeluh halus. Dia sudah mengagak, Helmi pasti akan bertanya lagi. Dia bingung. Tidak tahu apa yang perlu dijawab. Takut dirinya digelar tidak betul. Terpengaruh dengan filem seram. Ya, Andy memang peminat filem seram. Tapi, dia tidak menyangka kejadian ini menimpa dirinya. Ini kali pertama dia mengalami situasi sebegini.

“Bendalah.” Andy cuba berdalih. Tidak mahu menjawab soalan Helmi secara terperinci.

“Aku tahulah. Benda apa? Pokok ke… lembu ke… anjing hutan ke… hantu ke?” seloroh Helmi masih tidak puas hati dengan jawapan Andy.

Andy kegelisahan. Tiba-tiba badannya rasa panas. Peluh jantan mula berketul halus di dahi. Kejadian malam tadi benar-benar menyeramkan dan menakutkannya. Sebelum ini dia sendiri mengaku tidak percaya pada hantu. Namun, selepas kejadian malam tadi, tiba-tiba persepsinya berubah.

“Entahlah, aku tak nampak benda apa malam tadi. Yang aku tahu aku mengelak orang yang tengah berdiri kat tengah jalan,” jawab Andy jujur dalam cemas. Dia juga risau jika Helmi mentertawakannya.

Helmi kehairanan. Cepat dia menangkap pandangan ke wajah Andy yang kelihatan serba salah dan serba tidak kena. Jawapan Andy mencurigakan.

“Berdiri kat tengah jalan? Malam-malam buta? Kau pasti ke itu orang?” tanya Helmi hairan.

“Yalah, aku nampak benda tu orang. Seorang perempuan,” jawab Andy yakin apabila melihat Helmi seolah-olah tidak boleh menerima ceritanya.

“Cantik tak?” tanya Helmi serius.

Andy menjeling Helmi sinis. Benci benar dia melihat muka Helmi ketika ini. Ikutkan hati, ingin sahaja dilayangkan penumbuk ke muka Helmi. Dia tahu, Helmi tidak mempercayai ceritanya dan akan mentertawakannya sebentar lagi.

“Dahlah! Malas aku nak cakap dengan kau,” bentak Andy lalu melangkah masuk ke dalam kelas. Bengang betul dia dengan Helmi kerana cuba memperlekehkan ceritanya.

Dia menoleh ke arah Helmi sekilas. Terkekek-kekek kawannya itu mentertawakannya.

PELAJAR 4 Mutiara berpusu-pusu melangkah keluar dari kelas. Loceng yang menandakan tamatnya waktu persekolahan untuk hari ini baru sahaja berbunyi seminit yang lalu. Siti yang berada di sebelah Dewi masih menyusun buku-bukunya ke dalam beg dengan lambat-lambat.

Dewi pula seolah tiada semangat untuk pulang ke rumah. Dia masih dalam perasaan serba salah atas apa yang menimpa Salina. Tiba-tiba telefon bimbit Dewi bergetar. Lama telefon bimbitnya bergetar, barulah dia perasan. Dilihat pada skrin telefon bimbitnya. Nombor telefon pemandunya tertera. Lekas-lekas dia menekan butang accept.

“Assalamualaikum.” Dewi memulakan bicara.

“Cik Dewi ke?”

“Ha’ah.”

“Pak Mat nak minta maaf sebab mungkin Pak Mat datang jemput Cik Dewi lambat sikit. Kereta ada masalah. Pak Mat di bengkel ni,” pohon Pak Mat. Sayup-sayup sahaja suaranya dari sebelah sana.

“Oh, ya ke, Pak Mat? Kalau macam tu, tak apalah, Pak Mat. Dewi boleh balik naik teksi aje,” jelas Dewi, malas untuk menunggu. Baginya, penantian itu satu penyeksaan.

“Tak apa ke?”

“Tak apa.”

“Maaf sekali lagi ya, Cik Dewi.”

Panggilan ditamatkan. Dewi mengeluh.

“Kenapa, Dewi? Macam bosan aje muka kau?” tanya Siti sambil menyandang beg pada bahu.

“Pak Mat tak dapat jemput aku,” jawab Dewi hampa.

“Dah tu, kau balik macam mana?”

“Naik teksi kut.” Dewi tidak yakin dengan jawapannya. Dia memang tidak tahu di mana dia boleh mendapatkan teksi di kawasan ini. Semenjak dia berpindah ke sekolah barunya ini, yang terletak di sebuah pekan, jarang dia melihat teksi lalu-lalang di kawasan pekan kecil ini.

“Teksi? Berjamlah kau menunggu kat bus stop nanti,” jelas Siti sambil tergelak kecil.

“Kenapa?”

“Kat pekan ni jarang ada teksi. Kalau ada pun kadang-kadang. Itu pun tengok nasiblah,” jawab Siti yakin.

“Dah tu, ada bas ke, nak ke rumah aku tu?” Dewi mula risau. Jika tiada bas, terpaksalah dia menunggu kereta siap dibaiki lalu menyuruh Pak Mat datang menjemputnya. Dia sendiri tidak tahu bila kereta itu boleh siap dibaiki.

“Bas banyaklah. Tapi kalau bas untuk ke rumah kau tak adalah. Bas cuma hantar sampai depan kampung aje. Lepas tu kau kenalah menapak sendiri masuk ke rumah kau tu,” jawab Siti panjang lebar.

“Macam mana ek?” Dewi mengeluh. Malang sungguh nasibnya hari ini.

“Kau tunggu aje teksi kat bus stop depan sekolah tu. Manalah tahu rezeki kau hari ini. Ada teksi lalu kat situ,” jelas Siti sambil menghalakan muka ke depan sekolah. Sengaja mahu buat hati Dewi tenang.

“Kau balik naik apa, Siti?” Giliran Dewi pula bertanya.

“Naik bas.”

“Kita tunggu di bus stop sama-sama ek, Siti?” pinta Dewi.

Siti bersetuju. Tetapi dia hanya boleh menemankan Dewi selagi bas yang ingin dia naiki belum tiba. Selepas itu, dia terpaksa meninggalkan Dewi.

Keadaan perhentian bas agak sesak dengan pelajar-pelajar yang masih menunggu bas. Dewi dan Siti mengeluh lalu berdiri di belakang palang yang ada di perhentian bas itu. Mata masing-masing tertumpu ke jalan dari arah bandar. Keadaan jalan di hadapan mereka ketika ini agak sesak. Maklumlah, waktu pulang dari sekolah. Banyak kenderaan ibu bapa pelajar yang turut memarkir di tepi jalan kawasan itu untuk menjemput anak masing-masing.

Dari jauh sudah kelihatan bayang bas yang ditunggu-tunggu oleh Siti dan pelajar-pelajar lain di situ. Ada beberapa orang pelajar sudah mula berdiri dan bersiap-siap untuk menaiki bas tersebut.

“Okeylah, Dewi. Bas aku dah sampailah. Aku balik dulu ek?” Siti bersalaman dengan Dewi, pipi bertemu pipi.

“Alah… nampaknya tinggal aku sorang ajelah ek,” rungut Dewi.

“Tak apa. Aku doakan kau cepat dapat teksi ek.”

“Thanks.”

“Jaga diri tau. Kalau ada orang yang kau tak kenal kacau kau, kau call polis tau. Jangan telefon bomba pulak.” Sempat Siti mengusik sebelum melangkah naik ke atas bas.

Selepas melambai kepada Dewi, bas pun berlalu meninggalkan Dewi sendirian di perhentian bas itu.

Dewi melangkah untuk duduk pada palang besi yang dijadikan sebagai tempat duduk di perhentian bas itu. Dia mengeluh halus. Matanya sekejap-sekejap menangkap jalan. Menanti teksi untuk melalui jalan itu. Dari jauh Dewi terlihat sekumpulan pelajar lelaki sedang menunggang motosikal. Dia buat tidak tahu.

Bila kumpulan pelajar itu melintasi perhentian bas itu, salah seorang daripada mereka terpandang akan kewujudan Dewi di situ. Dalam beberapa saat kemudian, kumpulan pelajar lelaki itu membuat pusingan U suka-suka mereka sahaja. Mujurlah kenderaan yang melalui jalan itu ketika ini tidak banyak. Jika tidak, pasti berlaku kemalangan yang tidak dijangka.

“Hai, cik adik, sorang aje ke?” tegur salah seorang daripada mereka selepas memberhentikan motosikal kapcainya di hadapan Dewi.

Dewi buat-buat tidak tahu. Malas benar dia ingin melayan mat-mat rempit yang sekolah belum habis ini. Kerek gila. SPM pun belum lepas, ada hati nak mengurat anak dara orang. Misai belum tubuh lagi, sudah pandai nak menggatal.

“Amboi, sombongnya cik adik ni.” Budak lelaki tadi terus mengusik.

Dewi masih buat-buat tidak nampak akan kewujudan empat budak lelaki bermotosikal yang sedang cuba menjual minyak di hadapannya. Benci benar perasaan Dewi ketika ini. Ikutkan hati, ingin sahaja dia menapak, jalan kaki ke rumah.

Budak lelaki tadi turun dari motosikal. Dewi mulai cemas. Takut budak lelaki tadi buat perkara yang bukan-bukan kepadanya. Budak lelaki itu duduk di sebelah Dewi. Dewi mengengsotkan punggung, menjauh. Jelingan sinis menerkam pandangan budak lelaki itu.

“Hai, saya Aliff. Nama awak siapa?” Budak lelaki itu memperkenalkan diri lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Dewi hanya mendengus halus dan menjeling benci kepada Aliff. Kalau dia punya kuasa sakti seperti Catwoman, sudah pasti dia akan mencakar-cakar wajah budak lelaki yang berlagak poyo ala jantan termaco ini.

“Amboi, sombongnya.” Galak Aliff mengusik sambil mencuit-cuit bahu Dewi. Kawan-kawannya yang lain hanya tersengih di atas motosikal.

“Hisy, apa ni?” Tepis Dewi. Dia dapat mengagak, pasti Aliff ini ketua mereka. Sebab itu yang lain tidak berani mengacau sama

Aliff terus mengusik dan mentertawakan Dewi. Semakin Dewi melawan, semakin galak Aliff dan kawan-kawannya mengusik Dewi. Ikutkan hati Dewi, ingin sahaja dia humban setiap seorang ke dalam tasik. Biar lemas terus!

“Woi!” Aliff dan rakannya berhenti daripada terus mengusik Dewi. Masing-masing tertumpu kepada suara itu.

“Kau orang ni budak tingkatan berapa ek?” tanya suara tadi.

Aliff dan rakan-rakanya tiba-tiba cemas. Nampak sangat masing-masing tengah kecut perut bila berhadapan dengan tuan punya suara tadi.

“Baik kau orang berhambus. Kau orang budak form two, kan? Baru form two dah nak tunjuk samseng ek?” tengking suara itu lagi.

Kelam-kabut Aliff dan kawan-kawannya mendapatkan motosikal masing-masing. Bila tuan punya suara tadi melangkah menghampiri, lekas-lekas mereka memecut motosikal masing-masing dengan laju. Macam lipas kudung.

“Awak tak apa-apa?” tanya tuan punya suara tadi.

Dewi hanya tersenyum sambil membetul-betulkan bajunya yang ditarik-tarik oleh Aliff dan kawan-kawannya tadi.

“Tak ada apa-apa. Terima kasih sebab halau budak poyo tu,” ucap Dewi tersipu-sipu.

“Andy.” Tuan punya suara tadi memperkenalkan diri.

“Dewi, kan?” Andy sengaja menyoal. Hakikatnya dia memang sudah tahu nama Dewi sebelum ini.

“Mana tahu nama saya?” tanya Dewi hairan sambil menyambut salam Andy.

Andy hanya tersenyum. “Nak ke mana ni?”

“Nak balik.”

“Rumah kat mana?”

“Banglo yang kat tepi bukit tu,” jawab Dewi Sambil mengarah telunjuk ke arah bukit yang agak jauh di hadapan.

“Mehlah saya hantar awak dengan motor saya,” pelawa Andy.

Dewi gagap.

“Mehlah, saya bukan budak jahat.” Andy menggesa.

Dewi serba salah.

No comments:

Post a Comment