Monday, 16 April 2012

Cemin..5(Kisah Cinta Seram)


HARI baru menjelma. Hari ini hari Sabtu. Sudah menjadi kebisaan bagi Dewi untuk bangun sedikit lewat. Selepas sahaja selesai solat subuh, Dewi menyambung semula tidurnya. Jam 8.00 pagi baru dia kembali bangkit daripada lenanya. Selesai membersihkan diri, dia terus melangkah turun ke ruang makan. Mengejutkan apabila dilihat ibunya sedang bersarapan pagi sambil membaca surat khabar.

Dewi tersenyum gembira. Tidak sangka dapat bersarapan pagi bersama ibunya hari ini.

"Assalamualaikum, ibu. Selama pagi," ucap Dewi manja sambil menarik kerusi kosong bersebelahan dengan ibunya. Dihenyak punggung ke kerusi itu.

"Hai, sayang, selamat pagi. Lambatnya anak ibu bangun pagi hari ni," perli Azizah seolah terkejut dengan kemunculan anak gadisnya itu.

"Ibu tak ke office?" tanya Dewi kehairanan.

Ibunya tersenyum sebelum menjawab, Hari ni ibu masuk office lambat sikit." Fokusnya masih pada akhbar di tangan.

"Oh, ya ke?" Dewi menyenduk beberapa senduk nasi goreng yang telah disediakan oleh Mak We ke dalam pinggan.

"Dewi ke mana malam tadi?" tanya Azizah. Fokusnya masih pada akhbar di tangan.

Dewi kehairanan. Dia menjeling ke arah ibunya. Berkerut dahinya kerana cuba memahami apa maksud sebenar pertanyaan ibunya itu.

"Malam tadi? Dewi mana ada keluar pergi mana-mana?" tanya Dewi kehairanan. Dalam masa yang sama Mak We tiba-tiba muncul dari dapur. Dewi merenung wajah Mak We yang kian berkedut seribu. Adakah Mak We yang buat-buat cerita ini?

"Betul ke?" tanya Azizah seolah tidak mempercayai jawapan anaknya tadi.

"Betullah. Kenapa, ibu ada nampak Dewi di mana-mana ke malam tadi?" Dewi cemas. Takut benar dia jika ibu melenting kepadanya, padahal dia tidak lakukannya.

"Bukan apa… malam tadi, masa ibu baru balik dari office, ibu perasan Dewi meluru masuk ke bilik macam lipas kudung. Macam takut ibu tahu Dewi keluar malam."

"Pukul berapa ibu balik malam tadi?" Dewi semakin musykil.

"Pukul 11.00 malam," jawab Azizah tidak serius sambil menyelak-nyelak akhbar di tangan.

Dewi berfikir sejenak. Setahunya, dia tidur awal malam tadi. Apa yang pasti dia tidak ke mana-mana sepanjang malam tadi. Hanya menghabiskan masa di ruang tamu sambil menonton TV dan melayan muzik di dalam bilik tidur kemudiannya.

"Malam tadi, pukul 10.00 Dewi dah tidur, bu. Kalau tak percaya, tanya Mak We." Dewi menggunakan Mak We sebagai bukti yang sahih untuk jawapannya.

"Mungkin perasaan ibu aje kut…"

"Ibu nampak Dewi meluru masuk ke bilik masa ibu balik kerja?" tanya Dewi lagi, ingin memastikan.

"Ha’ah. Kalau Dewi tak keluar malam tadi, mungkin apa yang ibu nampak tu, cuma perasaan ibu aje. Maklumlah, tengah penat," jelas Azizah lagi cuba untuk tidak memikirkan hal yang bukan-bukan.

Tiba-tiba Dewi terasa seram sejuk. Dia memandang sekeliling isi banglo itu. Seolah merasakan ada sesuatu yang pelik pada banglo yang didiami ketika ini. Mendengarkan penjelasan ibunya tadi, menambahkan lagi persepsinya tentang banglo yang dianggap ada misterinya ini. Lagi-lagi selepas kejadian tingkap biliknya sering terbuka sendiri walaupun tingkap itu sudah dikunci.

"Dewi rasa lain macam ajelah, bu, pasal banglo ni," jelas Dewi. Matanya masih melilau ke seluruh sudut ruang banglo itu.

"Lain macam apa?" Lekas sahaja Azizah menyangkal. Fokusnya kepada akhbar di tangannya tadi terus hilang, diberikan sepenuhnya kepada anak gadisnya. Direnung Dewi, menginginkan penjelasan yang seterusnya.

Dewi terkulat-kulat bila direnung dengan tenungan yang cukup serius itu. Kata-katanya tadi membuatkan ibunya tiba-tiba berubah emosi.

"Tak ada apa-apalah," jawabnya tersekat-sekat. Langsung terus dipendam apa yang menjadi kemusykilan.

"Dewi jangan nak fikir benda yang bukan-bukan ek. Benda-benda mistik tu tak ada di sini," bentak ibunya serius lalu menghirup kopi panasnya yang sudah suam sehingga habis.

"Okeylah, ibu nak pergi office. Jaga diri baik-baik okey?" pesan ibunya lalu mencium dahi Dewi.

Dewi menyalam tangan ibunya lalu mengucupnya hormat. Ibunya berlalu meninggalkan dia sendirian di ruang makan. Sudah lali dengan situasi itu. Ditinggalkan sendirian di rumah.

Dewi mencapai akhbar yang ada di atas meja. Dicari cerita atau berita menarik untuk isu hari ini. Bosan, tiada apa yang dapat menarik perhatiannya. Dia terus menyelak-nyelak. Tiba-tiba selakannya terhenti. Tertumpu pada satu berita yang mengejutkan. Berita mengenai tiga remaja mati lemas selepas ditimpa kemalangan jalan raya malam tadi. Mengejutkan Dewi lagi apabila dia melihat gambar ketiga-tiga mangsa. Aliff dan dua rakannya. Alif pula, sebelum terhumban ke dalam parit dan lemas, dipercayai mukanya telah tercakar pada pagar besi berduri.

Jantung Dewi tiba-tiba berdegup pantas. Tidak menyangka apa yang diniatkan semalam menjadi kenyataan. Dewi cemas. Segera dia mencapai telefon bimbitnya.

TENGAH hari itu, Dewi menghubungi Siti dan Sem untuk bertemu di Old Town White Coffee yang terdekat. Ada sesuatu yang ingin Dewi ceritakan kepada dua orang sahabat baiknya itu. Sesuatu yang mencemaskannya. Seawal jam 12.15 tengah hari, Dewi sudah tercongok di dalam restoran itu.

Dewi kebengangan. Dia membuat janji untuk bertemu di restoran ini dengan Siti dan Sem jam 12.00 tengah hari. Namun, sampai sekarang kelibat dua orang sahabatnya itu masih tidak muncul-muncul lagi. Dia terus sabar menanti dengan perasaan berkobar-kobar. Beberapa minit kemudian, dari jauh dia sudah terlihat Siti sedang melangkah ke mejanya. Dewi merengus halus. Bosan rasanya kerana terpaksa menunggu. Dia menanti Siti menghampiri mejanya dengan sabar.

"Sorry, Dewi, aku lambat. Maklumlah, susah dapat bas. Nak ke shopping mall ni aje aku terpaksa naik bas dua kali tau," jelas Siti sambil duduk di depan Dewi sebelum sempat Dewi menghamburkan kemarahan.

Dewi memang menyimpan niat untuk memarahi Siti. Namun, selepas mendengarkan alasan Siti itu, dia cuba bersikap bertimbang rasa. Dia tahu, Siti terpaksa menaiki bas. Tidak sepertinya, ingin ke mana-mana cakap sahaja, pasti Pak Mat akan hantarkan.

"Ada apa kau nak jumpa aku ni?" tanya Siti lagi sambil mencapai buku menu yang dihulur oleh pelayan di sisi kirinya. Tercegat.

Dewi tidak terus menjawab. Dia membiarkan Siti membuat pesanan terlebih dahulu. Terasa kekok pula apabila ada pelayan di situ. Dewi melihat Siti terkial-kial membuat pesanan. Memilih makanan yang paling murah agaknya.

"Pesan aje apa-apa pun, aku belanja," jelas Dewi dapat mengagak.

Siti tersengih lalu membuat pesanan dengan pantas. Selepas membuat pesanan, pelayan tadi terus beredar dari meja itu.

"Thanks, Dewi. Sebab nak belanja," ucap Siti sambil tersengih sumbing.

Dewi hanya tersengih paksa. Kemudian, dia menghulurkan akhbar yang menyiarkan kisah Aliff dan rakan-rakannya mati lemas tidak jauh dari kawasan bandar.

Siti terpinga-pinga. Termangu seketika.

"Bacalah…" saran Dewi sambil menunjuk jari telunjuk pada akhbar yang ada di hadapan Siti ketika ini.

Siti membaca dengan khusyuk sekali. Sekali-sekala, berkerut dahinya. "Eh, ini budak sekolah kita, kan?"

Dewi beria mengangguk.

"Kesiannya dia orang ni. Tulah, siapa suruh race motor? Kan dah jadi macam ni," kata Siti lagi dengan nada yang penuh simpati.

"Hi, girls. Sorrylah, mak lambat sikit, nyah. Maklumlah nak bersiap tadi, memakan masa sikit." Tiba-tiba Sem muncul, menyergah.

Lekas Dewi menyuruh duduk. Seorang pelayan datang dengan buku menu lalu dihulur kepada Sem.

"Ya Allah, mahalnya makanan kat sini. Air kat sini dibancuh dengan air mata duyung ke?" getus Sem tanpa ada perasaan malu. Merah padam muka pelayan yang berdiri di sebelahnya.

"Oder ajelah, Sem, aku belanja." Cepat Dewi berkata sebelum Sem mengomen lebih banyak.

"Really? Thanks, Dewi," ucap Sem lembut gigi daripada lidah sambil tersenyum sumbing, lantas mula membuat pesanan. Selesai sahaja, pelayan tadi terus berlalu pergi.

"Apa kena-mengena kau dengan cerita ni, Dewi?" tanya Siti hairan, kembali pada topik asal pertemuan mereka.

"Kalau kau nak tahu, semalam budak-budak ni kacau aku kat bus stop," jawab Dewi serba salah.

"Apa? Dia orang kacau kau? Apa dia orang buat pada kau?" tanya Siti cemas.

"Tak ada apa-apa. Cuma usik-usik aje."

Siti lega selepas mendengar jawapan Dewi itu. "Jadi apa masalahnya?"

"Semalam, masa dia orang kacau aku tu, aku memang marah gila pada dia orang. Aku pun maki hamunlah dia orang. Secara tak sengaja, aku terlepas cakap, mereka bakal ditimpa kemalangan lepas tu masuk parit dan lemas," jelas Dewi panjang lebar dengan perasaan berkobar-kobar.

"Jadi?" Siti masih tidak dapat menangkap apa yang cuba Dewi sampaikan.

"See…" Dewi menunjuk jari telunjuknya pada akhbar tadi yang masih ada di tangan Siti. "Apa yang aku cakap tu terjadi kenyataan."

Siti mengetap bibir. Kemusykilan mula berputik di dalam hatinya. Ada juga perasaan takut.

"Seolah, apa yang aku niat pada orang yang aku benci tu terkabul," jelas Dewi lagi serba salah.

Siti menelan air liur.

"Apa yang you all cerita ni? Ceritalah pada aku?" tanya Sem terpinga-pinga. Satu potong ayat pun dia tidak dapat faham.

"Sebelum ni, kau pernah alami kejadian seperti ini?" tanya Siti lagi. Sedikit pun tidak mengendahkan pertanyaan Sem.

"Tak," jawab Dewi sepatah.

"Apa kau orang ni? Tak nak cerita pada aku ke? Kekwat dengan aku ke, girls? Kalau macam ni, baik aku balik aje." Merajuk Sem apabila kehadirannya di situ seolah tidak diendah. Kekwat bermaksud berlagak.

Dewi dan Siti tersentak. Dewi mengeluh. Kasihan pula melihat Sem terpinga-pinga di situ. Dia menceritakan apa yang telah dialami sejak berpindah ke kawasan itu.

"Oh, ya ke? Seramlah, nyah, aku dengar cerita kau ni," jelas Sem sambil memeluk tubuh sendiri, seolah dalam ketakutan.

Beberapa minit kemudian, pelayan membawa makanan yang telah dipesan oleh Sem dan Siti tadi. Cerita tergendala seketika.

"Mungkin secara kebetulan aje kut?" Siti mengagak. Cuba memberi persepsi positif selepas pelayan berlalu pergi.

"Mungkin juga." Dewi masih ragu-ragu dengan jawapan itu.

"Kau pernah alami apa-apa ke semenjak kau pindah di banglo tu?" tanya Siti lagi, seolah ingin menyiasat punca sebenar perkara itu berlaku.

"Entah, tak pernah pun," jawab Dewi ragu-ragu.

"Nyah, mak seramlah dengar cerita kau ni. Macam cerita seram dalam filem. Macam cerita Kuntilanak yang dilakonkan oleh Julie Estelle dengan Evan Sanders tu. Siapa yang buat hal pada heroin cerita tu, pasti esoknya mati kepala terpusing ke belakang," sampuk Sem sambil mencubit-cubit mufin coklatnya lalu disumbat ke dalam mulut.

"Hisy, kau ni, mengarutlah," tempelak Siti seolah ingin menjaga hati Dewi supaya tidak bertambah gelisah.

Dewi terdiam sejenak. Adakah apa yang berlaku ke atas dirinya ada kaitan dengan perkara mistik? Atau ia hanya berlaku secara kebetulan sahaja? Buat setakat ini, dua perkara yang sama telah berlaku. Sebelum ini kepada Salina. Dan malam tadi kepada Aliff dan rakan-rakannya. Dewi kerunsingan. Kata-kata Sem tadi terngiang-ngiang, untuk dipertimbangkan minda.

"Aku ada kawan yang mahir bab-bab kisah mistik ni," jelas Sem walaupun tidak ditanya.

"Nak buat apa? Dewi bukannya kena sampuk atau kena rasuk hantu," tempelak Siti cepat.

"Kita cuba tanya pada dia aje, sama ada kejadian yang menimpa Dewi ni ada kaitan dengan perkara mistik ataupun tidak," jelas Sem.

"Mengarutlah, Sem," bentak Siti sambil menunjal kepala Sem.

"Aku cama cadangkan ajelah. Kalau tak nak dah ah, tak payah nak marah-marah, nyah," rungut Sem menggedik.

Dewi tersenyum hambar melihat gelagat dua orang kawannya itu. Kata-kata Sem masih cuba dipertimbangkan. Apakah kejadian ini ada kaitan dengan banglo yang didiami sekarang? Jika ya, mengapa dia yang alami kejadian ini? Sedangkan, ibunya tidak pernah mengalami situasi yang dialaminya ketika ini.

No comments:

Post a Comment